Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata bunga ganja itu dirampas dalam serbuan di KLIA dan Kota Warisan, Sepang, selain lima suspek kini direman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Sebanyak 116.2kg bunga ganja bernilai RM13.34 juta dirampas dalam empat serbuan berasingan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Warisan, Sepang.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata dalam serbuan dilakukan pada Jun dan awal bulan ini, lima suspek berumur 25 hingga 40 tahun ditahan membabitkan dua lelaki warga asing, seorang lelaki warga tempatan, dan dua wanita tempatan.
“Dalam serbuan pertama pada 29 Jun lalu, polis mengesan dua bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan di terminal dan menahan pemiliknya iaitu seorang lelaki warga asing dari sebuah negara di rantau Asia Tenggara.
“Polis menahan suspek di ruangan menunggu pelepasan penerbangan. Hasil pemeriksaan awal, polis menemukan 60 bungkusan plastik dianggarkan seberat 33.6kg bernilai RM2.7 juta,” katanya di IPK Selangor, Shah Alam menurut Harian Metro.
Shazeli berkata, dalam serbuan kedua juga di lokasi sama, polis mengesan satu bagasi mencurigakan dan menemukan 39 bungkusan plastik dianggarkan seberat 21.1kg bernilai RM1.7 juta.
“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga pemilik bagasi terbabit. Saringan awal air kencing, suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, serbuan ketiga pada 3 Julai pihaknya menahan suami isteri warga tempatan di parkir sebuah kondominium sekitar Kota Warisan, selain merampas empat bagasi dan tiga beg plastik berisi 146 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat bunga ganja anggaran 76kg, bernilai RM6.1 juta.
Beliau berkata, keesokannya polis mengesan dua bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan di Terminal 1 dan menemukan 68 bungkusan plastik dianggarkan 35.5kg bernilai RM2.84 juta.
“Polis menahan seorang lelaki warga asing dari negara Eropah yang juga pemilik bagasi terbabit. Saringan awal air kencing mendapati, suspek negatif dadah,” katanya.
Semua suspek direman tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap dengan reman disambung lagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


