Rumah agam di 2 Mango Way di Alpine, New Jersey, dilapor dijual pada harga USD20 juta secara tunai kepada sebuah syarikat cengkerang tanpa nama terkait Daniyar Kessikbayev.
PETALING JAYA: Sebuah rumah agam di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan dijual pada harga USD10 (RM40) kepada menantu bekas perdana menteri, Najib Razak, menurut laporan New York Post.
Akhbar harian itu melaporkan, rekod hartanah menunjukkan Daniyar Kessikbayev, yang berkahwin dengan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, membeli hartanah tersebut, pada Mac 2025.
Hartanah digambarkan ‘seperti istana’ di 2 Mango Way di Alpine, New Jersey itu, dilaporkan kali terakhir berada di pasaran dengan harga USD$34 juta pada 2011, sebelum dijual setahun kemudian pada harga USD20 juta secara tunai kepada sebuah syarikat cengkerang tanpa nama yang dikaitkan dengan Kessikbayev, lapor akhbar itu memetik beberapa sumber tidak didedahkan.
Bulan lalu, tokoh perniagaan terkemuka Daing A Malek Daing Rahaman dan isteri Najib, Rosmah Mansor, menafikan dakwaan tular mengaitkan mereka dengan pembelian sebuah rumah agam bernilai USD13 juta (RM52 juta) di Mango Way, New Jersey pada Julai 2025.
Laporan New York Post menyebut, seorang individu yang rapat dengan Kessikbayev memaklumkan, rumah agam berkenaan kekal di bawah milikannya dan tidak dipindahkan kepada sesiapa pun.
Rumah dengan sembilan bilik tidur itu berada di kawasan seluas 17,150 kaki persegi (1,600m²), terletak di atas tanah seluas lebih 3.1 ekar serta dilengkapi gelanggang bola keranjang saiz penuh, lorong boling, teater rumah, perpustakaan, bilik simpanan bawah tanah untuk wain, sebuah gua kecil, lif, dan kolam air masin gaya hotel dengan sebuah lagi kolam di luar kediaman.
Laporan itu menyebut bekas pemiliknya, taikun pembinaan Joe Scott, yang dipetik sebagai berkata, pembeli berkenaan membayar untuk hampir untuk semuanya di dalam rumah itu, ‘termasuk minuman keras’. Katanya, urus niaga itu dilakukan ‘seorang lelaki berusia dari Rusia dan seorang wanita dari Timur’.

