Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Johari Ghani menyarankan kerajaan Sabah berbincang dengan kerajaan persekutuan berhubung cadangan naik taraf dan besarkan pelabuhan di negeri itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Putrajaya sedia bekerjasama dengan kerajaan Sabah bagi menaik taraf dan membesarkan kapasiti pelabuhan di negeri itu supaya produk hasil bumi dapat dieksport secara terus ke pasaran global tanpa perlu melalui Pelabuhan Klang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Johari Ghani berkata infrastruktur pelabuhan bertaraf antarabangsa amat kritikal di Sabah dan Sarawak bagi menarik kehadiran kapal dagang besar, sekaligus mengurangkan kos logistik yang tinggi.
“Kita mempunyai banyak hasil bumi di sana tetapi jika tidak mempunyai pelabuhan yang cekap dan bertaraf antarabangsa seperti Northport, Westport (Pelabuhan Klang) atau Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Kapal-kapal tidak akan datang membawa volum dagangan.
“Sebagai contoh di Sabah, sekiranya kapal membawa jumlah kontena yang besar, pelabuhan sedia ada mungkin tidak mampu menampung kuantiti tersebut. Jadi, pembesaran kapasiti ini memerlukan pelaburan yang besar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai rungutan pelabur Sabah yang terpaksa menanggung kos berganda kerana mengeksport bahan mentah melalui Pelabuhan Klang, berbanding secara terus ke Amerika Syarikat (AS) atau China.
Menurut Shafie, kedudukan geografi Sabah sebenarnya lebih dekat dengan pasaran utama seperti Jepun, China, dan AS, dan eksport secara terus mampu menjadikan harga produk tempatan jauh lebih kompetitif.
Johari berkata kerajaan Sabah disaran mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan persekutuan sekiranya mahu melaksanakan projek pembesaran pelabuhan.
“Jadi kalau katakan nak buat pembesaran, bincanglah dengan Persekutuan. Saya rasa kita pun boleh tengok perkara ini sebab apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak juga memberi manfaat kepada Persekutuan,” katanya.
Beliau memberi contoh bagaimana Pelabuhan Bintulu baru-baru ini telah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Sarawak untuk dikendalikan dengan sokongan penuh daripada persekutuan.
Sebelum ini, langkah memperkasakan pelabuhan di wilayah Borneo mencatatkan perkembangan signifikan apabila kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu diserahkan sepenuhnya daripada persekutuan kepada kerajaan Sarawak melalui perjanjian bernilai RM1.8 billion.


