Presiden AS Donald Trump berkata selama lebih sebulan, ‘tiada siapa tahu’ minyak diangkut melalui Selat Hormuz berasal dari mana. (Gambar AFP)
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Washington secara senyap menggerakkan sekurang-kurangnya 87 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz dengan dilindungi kegelapan, sementara tentera Iran tidak menyedari operasi itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami akan bertolak pada 1 pagi, semua lampu dipadamkan dan kapal pemusnah tentera laut kami akan belayar bersama,” kata Trump kepada Axios dalam temu bual yang disiarkan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi itu boleh dilakukan selepas tentera AS “memusnahkan” radar dan sistem pertahanan Iran sebelum konflik tercetus.
Selama lebih sebulan, katanya, “tiada siapa tahu” minyak yang diangkut menerusi laluan air itu berasal dari mana.
Kenyataan itu menyusul beberapa minggu gangguan pasaran tenaga global berikutan serangan AS-Israel ke atas Iran bermula 28 Feb lalu.
Baru-baru ini, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dilaporkan berkata, “Project Freedom” berjaya mengiringi 125 juta tong minyak melalui Selat Hormuz.
Dalam perkembangan lain, Trump ketika bercakap kepada anggota perkhidmatan Tentera Udara AS sebelum berlepas dari Pangkalan Bersama Andrews berkata, kapal itu belayar keluar dari Selat Hormuz “seperti yang belum pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini”.
Beliau mengulangi AS mempunyai “tentera paling hebat di dunia”.
Berhubung memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan Iran, katanya, Tehran mempunyai 60 hari untuk mencapai persetujuan muktamad.
“Kami mempunyai perjanjian yang telah ditandatangani malam tadi. 60 hari, mereka perlu membuat perjanjian, jika tidak, kami akan melakukan perkara yang tidak akan menggembirakan mereka.
“Saya tidak fikir ia akan sampai ke situ. Jika kita berbuat demikian, maka secara tiba-tiba, anda tidak akan mendapat minyak yang mengalir keluar dari selat itu.”
Rabu lalu, Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menandatangani memorandum persefahaman Islamabad secara elektronik bagi menamatkan perang AS-Israel dan Iran serta menghentikan serangan Israel ke atas Lubnan.


