Ibu pejabat PAS menjadi tumpuan media malam ini, berlatarkan kemelut parti itu dengan Bersatu.
KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS kembali bersidang di ibu pejabat parti itu, ketika nasib parti segabungan iaitu Bersatu menjadi persoalan, susulan terhentinya kerjasama politik antara kedua-dua parti.
Di sebalik cakap-cakap bahawa perbincangan akan menyentuh kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), FMT difahamkan akan ada dua mesyuarat hari ini: mesyuarat harian pada petang tadi, dan mesyuarat membabitkan para Ahli Parlimen.
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari ketika ditemui memaklumkan undangan dipanjangkan kepada Ahli Parlimen pembangkang, termasuk bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, untuk mesyuarat malam.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, ketika ditemui memaklumkan mesyuarat malam akan membincangkan semua perkara.
“Semua itu akan dibawa dan dibincangkan dan melalui kenyataan media selepas mesyuarat,” katanya.
Sementara itu, seorang pemimpin PAS menolak dakwaan mesyuarat itu akan menentukan kedudukan Bersatu dalam PN, memandangkan hal itu memerlukan keputusan bersama parti komponen.
“Soal kedudukan Bersatu itu peringkat majlis tertinggi PN akan bincang. PAS tak boleh buat keputusan sendiri, kena keputusan ikut suara majoriti,” katanya, yang minta tidak dinamakan untuk menerangkan mesyuarat, namun mahu menjernihkan sebarang anggapan.
“Mesyuarat jawatankuasa harian biasa tak bincang soal kedudukan Bersatu dalam PN. Selain itu perbincangan mengenai PRN serta persiapan menjelang pembukaan Parlimen bersama semua Ahli Parlimen kita,” katanya kepada FMT.
Krisis dalaman PN bermula susulan isu peralihan jawatan menteri besar di Perlis, memuncak kepada penamatan kerjasama dua parti itu, dan seterusnya melarat kepada usaha menyingkirkan Bersatu.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semalam berkata parti itu kekal dalam PN dan akan bertanding atas lambang itu pada pada pilihan raya.
Hari ini, Ketua Penerangan PN, Annuar Musa, meminta Bersatu bertenang dan tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan parti itu dalam gabungan.
Katanya, tindakan sedemikian tidak membantu menyelesaikan kemelut, dan mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan awal.
Dalam pada itu, seorang pemimpin PN memaklumkan agenda utama mesyuarat gabungan akan datang ialah mempertimbangkan kemasukan beberapa parti lain.
“Kita nak kuatkan pembangkang, bukan soal nak fikir tendang-menendang. Soal keputusan PAS putus hubungan dengan Bersatu biar pucuk pimpinan selesaikan secara tertib,” katanya, yang juga minta tidak dinamakan.


