BN menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor namun prestasinya turun pada PRU15 dengan kemenangan di sembilan kerusi Parlimen berbanding 14 oleh PH.
PETALING JAYA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor boleh memberi suntikan moral kepada gabungan itu, tetapi belum tentu mencetuskan ‘gelombang biru’ di peringkat nasional seperti dibayangkan Pengerusi Zahid Hamidi, kata penganalisis.
Syaza Shukri.
Syaza Shukri berkata, beberapa petunjuk perlu dilihat dalam menentukan sama ada kemenangan sesebuah parti di peringat negeri boleh mencetuskan gelombang di seluruh negara antaranya faktor perutusan pengundi.
Beliau merujuk PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022 yang menyaksikan BN menang majoriti dua pertiga tetapi peratusan keluar mengundi rendah khususnya selepas pandemik Covid-19 selain ia memiliki jentera tempatan kuat.
Namun, Syaza dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata keadaan berbeza dalam PRU apabil lebih ramai pengundi termasuk pengundi muda dan luar kawasan.
PRU15 di Johor menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang 14 kerusi manakala BN (9) dan dua dimenangi Perikatan Nasional (PN).
“Perkara itu boleh berulang dan kena analisis faktor BN menang, adakah majoriti besar disebabkan peratusan mengundi tinggi.
“Kena tengok syarat kedua juga iaitu PRU16 perlu dibuat kurang enam bulan dari PRN Johor untuk kekalkan momentum.
“Kalau lama lagi macam-macam hal boleh terjadi,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Zahid yang juga presiden Umno dipetik berkata Johor bakal menjadi titik permulaan kebangkitan semula BN menerusi ‘gelombang biru’ yang diyakininya mampu mengukuhkan sokongan rakyat terhadap parti itu di peringkat nasional.
BN bertanding di semua 56 DUN pada PRN Johor 11 Julai ini dan dalam misi mengekalkan 40 kerusi dimenangi pada pilihan raya empat tahun lalu atau lebih daripada itu.
Kenyataan Zahid bertitik-tolak keyakinan meraih kemenangan besar pada PRN Johor yang diharapkan dapat diteruskan di Negeri Sembilan bulan depan dan Melaka.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, hujah Zahid mengenai gelombang BN kurang munasabah jika dilihat semata-mata dalam konteks BN sebagai gabungan pelbagai kaum.
Katanya, naratif itu lebih mudah difahami jika dilihat dalam konteks usaha membina semula jajaran parti Melayu-Islam, atau dikenali Muafakat Nasional 2.0.
Bagaimanapun, Fauzi berkata BN tidak boleh mendabik dada terlalu awal kerana masih berdepan cabaran menarik semula sokongan bukan Melayu dan Melayu bandar.
Menurutnya, kenyataan Ketua Umno Langkawi Nazifuddin Najib yang membayangkan kemenangan gabungan itu sebagai sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak serta gesaan mempercepatkan pembebasannya, berisiko menjadi liabiliti politik.
Beliau berkata, isu itu boleh menghalang cubaan BN memulihkan sokongan pengundi bukan Melayu dan Melayu bandar, sekali gus menjejaskan reputasi BN sebagai gabungan pelbagai kaum.
“Ini akan menggugat reputasi BN sebagai gabungan pelbagai kaum,” katanya.

