Sebuah blok 13 tingkat di Highland Towers runtuh pada 11 Dis 1993 mengorbankan 48 penduduk, dipercayai akibat hakisan tanah yang disebabkan oleh hujan serta kebocoran paip.
PETALING JAYA: Kompleks kediaman Highland Towers yang lama terbiar di Hulu Klang akan dirobohkan sebelum akhir tahun ini selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) minggu lalu.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari, berkata keputusan mahkamah itu membolehkan struktur berkenaan yang terbiar selama lebih tiga dekad, dirobohkan.
Hasrolnizam berkata MPAJ akan mengadakan mesyuarat pelarasan dengan pemilik unit yang diwakili oleh pemaju serta Jabatan Insolvensi.
“Kita menjangkakan perkara ini tidak mengambil masa yang lama kerana semua dah jelas bahawa itulah matlamat yang diaturkan.
“Dalam tahun ini juga, proses perobohan itu akan berlaku,” katanya yang dipetik Harian Metro sebagai berkata.
MPAJ kini dalam proses untuk menyelaraskan tindakan perobohan terutamanya kepada pihak yang akan menguruskan kerja-kerja tersebut.
Dalam tragedi pada 11 Dis 1993 itu, seramai 48 penduduk terkorban selepas sebuah blok 13 tingkat di kompleks Highland Towers tumbang, dipercayai akibat hakisan tanah yang disebabkan oleh hujan serta kebocoran paip.
Penghuni Blok 2 dan Blok 3 kemudiannya terpaksa dipindahkan tidak lama selepas kejadian itu.

